Friday, 11 January 2008

Admin: Ustaz Rosdi Yusof telah kembali ke rahmatullah


Inna lillah wa inna ilayhi rajiun

Ustaz Rosdi Yusof telah kembali kepada Penciptanya pada bulan Disember 2007

Itu sahaja yang mampu saya katakan. Semoga Allah mengampuni segala dosa beliau dan meletakkannya di tempat yang mulia di sisi-Nya.


Hasanah ( www.drhasanah.com )
Balu ustaz Rosdi

Thursday, 26 April 2007

Penghayatan Islam Asas Rumahtangga Bahagia dan Anak-anak yang Berjaya

Dewasa ini, isu berkaitan keibubapaan dan institusi kekeluargaan bukanlah satu isu yang baru. Malah ia adalah isu yang selalu diperkatakan dan sering diperdebatkan. Institusi keluarga dan ibubapa merupakan satu institusi yang penting dalam sistem sosial Islam. Justeru itu Islam memandang mulia kedudukan, tugas, peranan dan tanggungjawab ibubapa kerana mereka adalah tunggak dan pencorak generasi masakini yang bakal menggalas kepimpinan negara pada masa hadapan. Merekalah yang menjadikan anak-anak sebagai aset negara yang tidak ternilai.

Ibubapa berfungsi sebagai penggerak yang paling penting dalam mendidik anak-anak dan keluarga ke arah membina kehidupan berumahtangga yang baik, sempurna dan diredhai oleh Allah. Skima penilaian ibubapa yang berjaya tidak meletakkan faktor kebendaan atau aspek lahiriah semata-mata tetapi lebih dari itu. Faktor keterampilan dan kemampuan untuk melahirkan dan membentuk satu generasi anak-anak yang berilmu, bertakwa, beriman dan beramal soleh adalah penentu dalam situasi dan ruang lingkup tugas dan tanggungjawabnya sebagai ibubapa. Inilah ukuran yang menjadi kriteria utama kejayaan mereka.

Jika kita mengukur dan menilai ibubapa berjaya berdasarkan kebolehan atau pencapaian aspek kebendaan semata-mata tanpa memikirkan soal adab, kesopanan, maruah dan budi pekerti sudah tentu ianya akan hanya melahirkan generasi ynag tempang dan seterusnya masyarakat yang pincang.
Ibubapa yang memahami, memperlengkapkan diri dan membentuk dengan asas-asas pengetahuan Islam untuk membina keluarga berlandaskan asas keagamaan akan dapat merealisasikan tuntutan sebenar dari perkahwinan tersebut. Persediaan keagamaan ini penting sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan juga keluarga kamu dari api nereka.
(Al-Tahrim:6)

Kemuliaan institusi ini dipelihara oleh Islam di mana ianya perlu dimulai dengan peraturan tertentu iaitu perkahwinan dan bukannya melalui hubungan sulit atau perzinaan. Maksudnya batasan dan kefahaman agama menjadi pendorong utama apabila perkahwinan hendak dilaksanakan.

Kita juga tidak mahu keruntuhan sistem kekeluargaan adalah berpunca dari faktor kurangnya pengetahuan atau didikan agama yang dimiliki oleh ibubapa. Hakikatnya ibubapa yang memiliki didikan agama dan menghayati falsafah perkahwinan dan diterjemahkan dalam rumahtangganya dapat menjalankan fungsinya dengan baik dalam kehidupannya. Ini adalah kerana pertimbangan soal dosa dan pahala adalah asas penting dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab kita terhadap diri, keluarga masyarakat dan negara.

Akan datang…

Bagaimana meningkatkan potensi nilai akhlak anak-anak terhadap ibubapa?.

Saturday, 25 November 2006

Muhasabah Diri Sebelum Ajal

Hari-hari yang kita lalui dipentas dunia ini penuh dengan berbagai dugaan, macam-macam yang kita pelajari daripada kerenah, penglibatan dan penglihatan kita sehari-hari. Latihan yang kita terima amat berharga bak sebutir mutiara. Deretan untaian-untaian mutiara yang kita perolehi daripada sumber-sumber tersebut jika dijalinkan akan menjadi pedoman kepada kita dikemudian hari.

Kirmizi Merah
Mungkinkah usia kita di ambang senja?
Walaupun manusia itu dibekalkan dengan pengalaman tersebut jika ianya tidak didasari dengan keimanan kepada Allah semuanya akan menjadi sia-sia bak kapas yang berterbangan ditiup angin. Keseluruhan amalan kita diatas muka bumi ini akan diperhitungkan olehNya diakhirat nanti. Segala bekalan yang akan kita bawa pastinya menjadi penyelamat kita di hari hisab nanti. Perlu kita ingat, apakah amalan-amalan yang kita perlu sediakan sebagai bekalan menemui Allah kelak dan apakah ianya sarat dengan amalan kebajikan ataupun kejahatan?


Jika diteliti daripada sirah Rasululllah, baginda amat menitikberatkan perkara ini sehingga dijelaskan oleh siti Aisyah r.a bahawa beliau pernah melihat baginda Rasulullah bersolat sehingga kakinya bengkak-bengkak. Ertinya disini walaupun baginda seorang manusia yang terpilih disisi Allah dan merupakan kekasihnya namun baginda tetap tekun melakukan ibadah-ibadah ditakuti baginda dikategorikan sebagai seorang hamba yang tidak bersyukur.Juga pernah dijelaskan oleh baginda darihal seseorang apabila ia menghapiri saat kematiannya dan saat ia akan dikuburkan dengan sabdanya:

Mayat kekubur akan diiringi oleh tiga perkara, iaitu keluarganya, harta bendanya dan amalannya, yang dua akan pulang (kembali) dan satunya akan tinggal.Yang pulang adalah keluarga dan harta bendanya sedangkan yang tetap akan tinggal ialah amalannyaĆ¢€ Riwayat Syaikhan

Walaubagaimanapun terdapat beberapa amalan yang dapat meringankan kesakitan semasa menghadapi ajal. Antaranya amalan taubat yang diamalkan oleh hamba dapat meringankan siksa disaat kematiannya.Jika ia masih mempunyai dosa yang memerlukan kepada taubat bererti ia masih lagi belum bersiap sedia menemui Tuhannya. Menyedari hal yang sedemikian maka bersegeralah bertaubat, sebab mereka yang senantiasa dalam kekuatiran dan ketakutan maut akan menjemputnya akan beroleh kenikmatan hidup diakhirat kelak.

Iman Mutiara

Iman adalah mutiara merupakan senikata lagu yang amat mengasyikkan dimana mengandungi pengertian yang amat mendalam. Ungkapan dalam senikata lagu tersebut memberikan rantaian-rantaian ilmu yang amat berguna kepada kita sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini. Perumpamaan iman seperti mutiara adalah perumpamaan yang mengandungi nilaian yang tiada tolok bandingnya, dimana mutiara adalah hiasan yang paling indah dan mahal disisi pemiliknya. Ia juga merupakan sesuatu yang amat berharga yang menghiasi diri manusia terutamanya kaum hawa.

Kaabah
Ungkapan iman yang juga tidak boleh diwarisi dari satu generasi ke satu generasi yang lain menjadikan iman sesuatu yang amat unik dimana butiran iman tidak akan tumbuh dan bercambah dengan sendirinya tanpa diadun dengan unsur-unsur tertentu. Menyedari hakikat betapa pentingnya iman kepada hamba Allah maka tulisan ini cuba mengupas sebaik-baiknya tentang isu yang semakin menjadi-jadi kegawatannya dewasa ini. Sifat-sifat mazmumah yang timbul dalam diri manusia lantaran ketiadaan iman yang didalangi oleh hawa nafsu dan godaan syaitan laknatullah mengakibatkan berlakunya gejala yang tidak sihat, kemaksiatan, kerosakkan akhlak dan sebagainya.

Iman jika diteliti dari segi bahasa memberikan erti percaya. Oleh itu, orang yang beriman dikatakan seorang yang percaya. Jadi tidak dikatakan orang itu beriman jika ia tidak menyakini dan percaya kepada Khaliqnya. Manakala dari segi istilahnya pula boleh dimengertikan melalui sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadith baginda yang menegaskan:
Membenarkan dengan hati, diucapkan dengan lidah dan diamalkan dengan jasad (anggota lahir).

Dari hadith ini bolehlah difahami bahawa iman ialah membenarkan dengan hati secara putus (jazam), akan segala yang dibawa atau didatangkan oleh Rasulullah s.a.w. yang sabit secara nas qat™ie, diketahui kedatangannya itu adalah secara darurat (mudah). Oleh itu tanpa tiga syarat yang disebutkan tadi seseorang itu belum dikatakan mempunyai iman yang sempurna. Namun ketiadaan satu daripada ketiga-tiga syarat tadi bermakna statusnya daripada nama Islam bertukar dan nama lain akan diberikan kepadanya iaitu samada fasik, munafik atau kafir.Melalui pendedahan tentang ciri-ciri keimanan tersebut dapatlah kita ketahui tahap mana keimanan yang kita dokongi, adakah ianya seteguh gunung yang tersergam megah atau hanya seteguh istana pasir yang dibina akan musnah dan hancur apabila dipukul ombak.Maka dengan ini, Islam telah menggariskan beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu di kategorikan sebagai beriman dan jika tidak memenuhi syarat tersebut maka jadilah ia seperti yang di istilahkan iaitu:

1- Seseorang yang mengucapkan lailahaillallah dan yakin dengannya, tetapi tidak beramal atau amalannya tidak sempurna sebagaimana yang dikehendaki, maka golongan ini dinamakan sebagai mukmin yang fasik atau ˜asi (derhaka).

2- Seseorang yang yakin tetapi tidak mahu mengikrarkan kalimah lailahaillallah sama ada dengan beramal ataupun tidak dikategorikan sebagai seorang yang kafir sepertimana yang berlaku terhadap Abu Jahal dan Abu Lahab.

3- Seseorang yang mengucapkan lailahaillallah kemudian beramal dengan tuntutannya tetapi keyakinan dicelahi oleh keraguan adalah di istilahkan sebagai seorang yang munafik sepertimana keimanan Abdullah bin Ubay.

 Keraguan disini bukan sahaja kepada Allah semata-mata tetapi juga kepada Rasul, Malaikat, Kitab, Qada™ dan Qadar serta mengengkari sesuatu yang dimaklumi dalam agama Islam.

 Oleh itu, apabila seseorang mengucapkan dua kalimah syahadah maka jadilah ia seorang Islam. Walaubagaimanapun, seseorang Islam itu belum dikira sebagai seorang yang beriman walaupun ia mengerjakan solat, berpuasa, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan sebagainya. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya di dalam surah al-Hujurat ayat 14 yang berbunyi:

 Orang Arab Badwi itu berkata, kami telah beriman, Katakanlah (pada mereka), Kamu belum beriman. Tetapi kamu katakanlah, Kami telah tunduk(islam), kerana iman itu belum masik kedalam hatimu, dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pun pahala amalanmu, sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang.


 Ayat ini diwahyukan kepada junjungan mulia s.a.w. ketika beberapa orang Arab Badwi datang kepada baginda sambil menyatakan bahawa kami telah beriman, hanya selepas mengucapkan lailahaillallahdan melakukan amalan yang diperintahkan. Dari keterangan ayat ini juga bolehlah disimpulkan bahawa:

– Seseorang Islam belum tentu dianggap beriman, tetapi seseorang yang beriman sudah tentu Islamnya.

– Keislaman boleh dikenali melalui amalan zahir, tetapi keimanan adalah melalui amalan batin (hati).


Lanjutan dari ayat diatas,ditegaskan tentang orang yang beriman yang diperincikan lagi melalui ayat dalam surah yang sama ayat 15:

 Sesungguhnya orang yang sebenarnya beriman, hanyalah orang-orang yang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.


 Rentetan ayat di atas, keraguan seseorang dalam mengucapkan kalimah syahadah samada maksud kalimah tersebut atau tentang lain-lain rukun iman haruslah dipelajari maksud dan tuntutannya. Maka dengan sebab itu, ucapan lailahaillallah mestilah dipelajari maksud dan tuntutannya kemudian difahami, diyakini (tanpa ragu-ragu) dan dihayati untuk diamalkan.

 Keraguan tentang iman dan rukun iman boleh berlaku melalui empat bentuk sepertimana yang diperjelaskan oleh ulamak iaitu;

1. Jahil; iaitu seseorang yang tidak tahu tentang satu atau banyak perkara mengenai persoalan iman maka ia diistilahkan sebagai seorang yang jahil.

2. Syak; iaitu antara keyakinan dan keraguan yang boleh juga diukur melalui peratusan iaitu antara 50 % yakin dan 50 % keraguan.

3. Zan; iaitu yang diistilahkan sebagai kuat anggapan juga boleh dinisbahkan kepada 75 % keyakinan dan 25 % keraguan.

4. Waham; iaitu yang boleh dinisbahkan kepada 25 % keyakinan dan 75 % keraguan.

 Daripada pembahagian kadar keraguan dan keyakinan seperti yang diperjelaskan di atasbolehlah kita membuat kesimpulan bahawa apabila persolan iman seseorang itu diselami oleh perasaan jahil, syak, zan atau waham bermakna ia belum lagi boleh dikategorikan sebagai seorang yang beriman. Sebaliknya, seseorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah disertai dengan cahaya keyakinan yang seratus peratus tanpa dicelahi oleh oleh mana-mana satu daripada keempat-empat bentuk keraguan diatas barulah ianya boleh dikatakan seorang yang beriman. Oleh itu, seseorang itu akan tidak akan merasakan kelazatan iman tanpa diresapi oleh sifat-sifat yang tertentu di dalam dirinya iaitu;

– tidak ada sesuatu yang yang lebih dicintainya daripada Allah dan juga Rasul-Nya.

– Menyintai sesuatu hanya kerana Allah.

– Takut berbalik daripada keimanan kepada kekufuran sepertimana ia takut dimasukkan ke dalam api neraka.

 Nikmat keimanan yang dirasai oleh orang yang merasai kelazatan iman akan terpancar melalui amalannya. Maka seseorang yang telahpun merasai kelazatan iman tersebut tidak akan takut untuk menuturkan atau melafazkan perkara yang benar dan juga tidak akan sama sekali berdusta walaupun ketika ia menghadapi saat-saat kesulitan. Selain daripada itu, ia juga menyakini tentang segala ketentuan itu adalah dari Allah yang tidak dapat dihindarkan oleh kita yang bersifat makhluk-Nya.

Insyaallah akan menyusul nanti sambungannya tentang peringkat-peringkat iman

Monday, 6 November 2006

Selamat Datang

Assalamualaikum,

Selamat Datang ke blog peribadi saya. Ia sekadar cetusan fikrah daripada seorang hamba Allah s.w.t. yang sangat kerdil dan lemah di sisinya.

Untuk permulaan, saya mengharapkan agar pengunjung sekelian dapat memberikan sedikit pandangan mahupun persoalan yang mungkin bermain di fikiran (Sila isikan di ruangan ‘comment)’. Mungkin, dalam post yang akan datang, persoalan tersebut akan saya ketengahkan!

Terima kasih.